PM: Singapura dipimpin dengan baik meski keadaan tidak menentu

  • Print
  • Email

PAP mesti menjadi parti kebangsaan yang kuat dalam usaha membawa Singapura ke depan, beliau memberitahu aktivis dipersidangan ke-34

Dunia kini dalam keadaan tidak menentu dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) perlu meningkatkan keupayaannya dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang merupakan Setiausaha Agung PAP, menyatakannya dengan penuh semangat semasa persidangan dwitahunan parti pada 4 Dis lalu. Beliau menggariskan dua keutamaan untuk parti pemerintah PAP bagi tahun-tahun mendatang sebelum tibanya pilihan raya umum, yang harus diadakan pada 2021.

Pertama, rakyat Singapura perlu melengkapkan diri dengan kemahiran untuk menjaga diri mereka sendiri. Disebabkan itulah, pelaburan besar dibuat dalam bidang pendidikan, dan pekerja didorong mempertingkat diri menerusi gerakan nasional SkillsFuture.

Pemerintah juga sedang memperkukuh jaringan keselamatan masyarakat, menerusi daya usaha seperti - Pakej Generasi Perintis, Medishield Life, CPF Life, Silver Support dan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) dan menangani cabaran penduduk yang semakin tua. Lebih banyak hospital, poliklinik dan pusat khidmat masyarakat akan dibina dan pemerintah akan mempertingkat usahanya, kata Encik Lee.

Kedua, PAP mesti kekal utuh sebagai sebuah parti nasional yang berupaya berhubung dengan setiap lapisan masyarakat dan mewakili mereka dengan baik. Encik Lee menekankan pentingnya pemerintah PAP meneruskan dasar yang menyatukan semua warga dalam usaha memastikan masyarakat kekal bersatu padu.

Berkhidmat kepada rakyat adalah tanggungjawab PAP

"Parti mesti berkhidmat untuk rakyat kerana itu adalah tanggungjawab kita. Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat.

PAP tidak boleh berperanan seperti parti-parti politik di negara lain di mana orang menyertai politik untuk meraih kekayaan.

Di sini, jika anda sertai PAP, anda harus menjangka yang anda perlu bekerja keras dan membuat ucapan berat. Mutu khidmat yang diberikan tidak harus berkurangan, kita tidak mampu memandang pengundi secara enteng," katanya.

Yang terpenting bagi masa depan parti adalah keupayaannya menyediakan kepimpinan yang utuh, dan Encik Lee menggariskan peri-pentingnya mempunyai pasukan PAP yang berwibawa demi masa depan.

Semasa persidangan itu, anggota kanan parti telah memilih Jawatankuasa Eksekutif Pusat yang akan berkhidmat bagi satu penggal selama dua tahun mulai Januari 2017.

Kedudukan kuat

Encik Lee akur bahawa Singapura kini maju dari kedudukan yang kuat, berbanding Negara-negara membangun lainnya, yang harus berhadapan dengan kadar pengangguran yang tinggi dan pendapatan yang tidak berkembang.

Kadar pengangguran di Singapura adalah rendah. Pendapatan isi rumah di sini meningkat dengan baik, yang turut merangkumi pendapatan kecil dan sederhana. Sedang ada yang mengurangkan jaringan keselamatan masyarakat disebabkan keterbatasan belanjawan, Singapura pula meningkatkan pelaburannya dalam aspek ini.

Melahirkan keprihatinannya terhadap trend perlindungan dan nasionalisme yang semakin meningkat, Encik Lee memberi amaran sekiranya lebih banyak negara yang akan bersikap demikian, keadaan dunia akan berubah - menjadi lebih buruk.

Untuk Singapura, "kita akan terus bekerjasama dengan kuasa-kuasa besar. Kita mesti kekal terbuka, kerana jika kita tertutup seperti negara lain, rakyat kita akan teruk terjejas," katanya.

Sememangnya sebuah kediaman untuk semua

Meskipun pemerintah PAP melakukan sebaiknya dalam memastikan rakyat dapat menikmati hidup yang bermakna, Encik Lee menekankan bahawa Singapura akan benar-benar menjadi sebuah kediaman jika warganya memilih begitu.

Disebabkan itu, terdapat perancangan berterusan untuk membangunkan prasarana utama seperti pelabuhan mega, terminal lapangan terbang, dan membina dan mempertingkat bandar-bandar HDB.

Beliau menggesa rakyat untuk kekal bersatu, menjiwai semangat cinta negara, melakukan kerja kemasyarakatan dengan rakan sewarga, dan bangga menjadi rakyat Singapura.

Singapura, tambahnya, mengecapi apa yang dinikmatinya hari ini disebabkan rakyatnya yang mempercayai pemerintah PAP untuk melakukan perkara yang betul dan berkhidmat dengan baik.

"Kita tidak harus mengambil kepercayaan itu secara lewa. Jangan leka atau sombong, jangan lupa tanggungjawab atau impian. Marilah kita bersatu, saling membahu,dengan anda, untuk anda, untuk Singapura," kata Encik Lee.

This article was first published in the December 2016 issue of Petir Magazine.

Copyright © 2016 People's Action Party. All Rights Reserved
Published by and at the directions of People's Action Party
PAP HQ, Block 57B New Upper Changi Road, #01-1402 Singapore 463057

This website is best viewed in IE 10 and above, Firefox and Chrome.